Tumpuan :
Mahkamah

Saksi serah ekzos ‘NLK’ seminggu selepas Zaharif mati dilanggar

Pegawai kanan polis, Mohd Nazri Abdul Razak, 44, dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini bagi menghadiri perbicaraan hari kesembilan kes bunuh yang dihadapinya. Mohd Nazri didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar 17 tahun, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie dengan melanggar mangsa menggunakan kereta di Jalan Taman Jati, Meru, pada Disember tahun lalu. FOTO: NSTP

IPOH: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa dia menyerahkan ekzos motosikal yang ditunggang Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie kepada polis, seminggu selepas mangsa dilanggar, Disember tahun lalu.

Saksi pendakwaan ke-14 iaitu remaja lelaki berkata, ekzos jenama ‘NLK’ buatan Thailand jenis 4 stroke itu dihantar ke rumahnya oleh seorang kawan lelaki pada 22 Disember tahun lalu.

Menurutnya, dia kemudiannya dihubungi pihak polis melalui panggilan telefon bertanya tentang ekzos terbabit dan dia kemudiannya mengaku ada menyimpan barang kes itu.

“Polis datang ke rumah saya dan saya serahkan kepada seorang pegawai polis bernama Azlan jam 5.50 petang, 22 Disember 2023,” katanya ketika diminta memberi keterangan oleh Timbalan Pendakwaan Raya Afzainizam Abdul Aziz semasa pemeriksaan utama di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Pada hari kesembilan prosiding perbicaraan kes pegawai kanan polis didakwa membunuh Zaharif, hari ini, saksi itu turut memberitahu, pada 15 Disember tahun lalu, dia membantu payungkan Zaharif di bahu jalan selepas mangsa terbabit kemalangan.

“Pada waktu itu saya dengar ramai yang katakan “Zaharif dah takde, Zaharif dah takde”. Tidak lama kemudian, kenderaan polis sampai. Seorang pakcik seterusnya menyuruh kami (pelajar sekolah yang berkerumun) pergi ke masjid untuk solat Jumaat.

“Selepas Solat Jumaat, saya nampak motosikal ditunggang si mati berdekatan restoran milik bapa Zaharif.

“Namun, pada waktu itu, saya tidak tahu siapa yang meletakkan motosikal terbabit di situ,” katanya.

Semalam, saksi pendakwaan ke-13 dilaporkan berkata, dia melihat tujuh atau lapan pelajar bermotosikal memulas pendikit menyebabkan bunyi bising kuat dan berpusing berkali-kali berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, sebelum kejadian Perodua Ativa melanggar Zaharif berlaku.

Mengikut pertuduhan, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, didakwa membunuh Muhammad Zaharif, 17, di Jalan Taman Jati 1 berhampiran SMK Jati antara jam 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari, 15 Disember 2023.

Pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun dan sebatan minimum 12 kali, jika sabit kesalahan.

Selain Afzainizam, pasukan pendakwaan dibarisi Nasrul Hadi Abdul Ghani, V Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam M Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Prosiding perbicaraan disambung 2 Disember depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini