comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Saksi tidak sangsi Jho Low adalah penasihat Najib

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – FOTO NSTP

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai AmBank yang menguruskan akaun Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, pegawai kanan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) merujuk ahli perniagaan Low Taek Jho atau lebih dikenali Jho Low sebagai ‘boss’ dan Najib sebagai ‘big boss’ setiap kali dalam mesyuarat.

Oleh itu menurut bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, beliau tidak pernah sangsi Jho Low adalah penasihat bekas perdana menteri yang ketika itu juga Pengerusi Lembaga 1MDB.

Saksi pendakwaan ke-41 itu yang menjawab Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib pada sesi pemeriksaan semula, berkata sepanjang ingatannya beliau tidak pernah diberitahu oleh mana-mana pihak dalam 1MDB bahawa Jho Low yang kini diburu polis, sebenarnya bukan penasihat Najib.

Katanya, antara pegawai 1MDB yang pernah berurusan dengannya dan berada dalam mesyuarat yang merujuk Jho Low sebagai ‘boss’ dan Najib sebagai ‘big boss’ adalah Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (bekas ketua pegawai eksekutif); Terrence Geh (bekas pengarah kewangan); Radhi Mohamad( bekas ketua pegawai operasi); dan Azmi Tahir (bekas ketua pegawai kewangan).

“Oleh itu saya percaya Jho adalah penasihat Najib walaupun saya tidak pernah berjumpa dengannya (Najib) dan tidak pernah sangsi Jho mewakili Najib.

“Saya tiada alasan untuk sangsi dengan apa yang Jho beritahu kerana apabila dia maklumkan mengenai cek dikembalikan atau ada dana yang masuk ke dalam akaun (Najib), memang perkara itu berlaku, jadi saya tidak rasa sangsi,” katanya.

Ging Ping berkata demikian ketika memberikan keterangan terhadap Najib, 70 yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Sementara itu, Ging Ping berkata, beliau mengakui gagal mengendalikan akaun itu apabila tidak mengesahkan sendiri dengan Najib ketika dicadangkan peguam bela sebelum ini, bagaimanapun katanya ia disebabkan beliau bergantung kepada kepercayaan bahawa pemegang mandat akaun iaitu Nik Faisal Ariff Kamil dan Jho Low mewakili Najib.

Saksi itu berkata, dia berpandangan bahawa bukan tarafnya sebagai pegawai biasa untuk pergi kepada Najib selaku perdana menteri ketika itu, lebih-lebih lagi pihak yang menguruskan pembukaan akaun Najib terdiri daripada pegawai atasan AmBank.

Beliau menegaskan sudah melakukan yang terbaik dalam menguruskan akaun Najib dengan mengemas kini dan memaklumkan semua transaksi kepada setiap jabatan dalam Ambank yang sepatutnya tahu mengenainya, dan mengesahkan kepada bahagian tukaran wang asing yang melaporkan terus kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Ahmad Akram: Atas faedah siapa semua transaksi ini?

Ging Ping: Ia bagi faedah Najib.

Ahmad Akram: Kamu pernah dicadangkan bahawa Jho Low menggunakan banyak kod nama dalam transaksi yang menyamai ciri aktiviti pengubahan wang haram dengan menggunakan akaun Najib dan kamu tidak mengesahkan perkara itu. Jika pengubahan wang pun, ia adalah untuk faedah siapa?

Ging Ping: Untuk faedah pemegang akaun kerana dalam hal ini transaksi cek diterima dan kad kredit boleh digunakan.

Ahmad Akram: Daripada semua bukti yang diberi, dokumen dan komunikasi pesanan Blackberry (BBM) , adakah ada apa-apa yang menunjukkan Najib tak tahu mengenai apa yang berlaku dalam akaunnya?

Ging Ping: Tidak ada.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 27 Februari ini.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini