comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Salah guna wang RM12,000, bekas bendahari masjid mengaku tidak bersalah

Syaharullah (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan wang RM12,000 Masjid Al Ubudiah Kampung Sri Machap, Kluang, dua tahun lalu. – Foto: NSTP

JOHOR BAHRU: Seorang bekas bendahari masjid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menyalahgunakan wang RM12,000 Masjid Al Ubudiah Kampung Sri Machap, Kluang, dua tahun lalu.

Syaharullah Ismail, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, Syaharullah yang juga pemandu lori yang ketika itu memegang jawatan sebagai Bendahari Masjid Al Ubudiah Kampung Sri Machap didakwa dengan curangnya menyalahgunakan harta iaitu wang milik masjid berkenaan berjumlah RM12,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada 12 November 2022, antara jam 9.16 hingga 9.17 malam di sebuah bank di Jalan Dato’ Kapten Ahmad, Kluang di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebatan, serta boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Zahida Muhammad Ruzi, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K Bharathi.

Nur Zahida menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di SPRM Cawangan Kluang.

Bagaimanapun, Bharathi memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak mempunyai gaji tetap, selain mempunyai isteri yang bekerja sebagai guru dan tiga anak yang masih bersekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin tempatan beserta syarat tambahan iaitu melapor diri sebulan sekali tanpa gagal di cawangan SPRM Kluang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini