comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Sampai hati bunuh anak ibu – Ibu Mangsa 


BATU GAJAH: Rintihan seorang ibu di perkarangan Mahkamah Majistret di sini hari ini mendapat perhatian petugas media yang membuat liputan.

“Sampai hati bunuh anak ibu, anak ibu tu baik, 32 tahun ibu jaga anak ibu,” itu luahan ibu mangsa bunuh, Rozita Radzuan, sebaik tertuduh yang juga menantunya Hairil Anaas Abdullah dibawa keluar dari lokap mahkamah.

Rozita 56 kemudiannya tidak dapat menahan sebak, hingga terpaksa dipapah oleh ahli keluarganya.

Beliau yang mengenakan jubah berwarna gelap kemudiannya ditenangkan ahli keluarga.

Tertuduh, Hairil Anaas 37, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Gajah di sini atas pertuduhan membunuh isterinya, bulan lalu.

Lelaki ini yang tidak bekerja hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Azlin Zeti Zainal Abidin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Nisya Syahkila Shaharun, 32, di dalam sebuah bilik hotel di Batu Gajah, di sini, antara jam 7.30 pagi hingga 2 petang, 20 Jun lalu.

Oleh yang demikian, dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 tahun hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan menetapkan 9 Ogos depan sebagai sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, bedah siasat serta asid deoksiribonukleik (DNA).

20 Jun lalu, media melaporkan lelaki terbabit menyerah diri di balai polis jam 2 petang selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad dilaporkan berkata, suspek disyaki membunuh mangsa kerana tidak puas hati apabila wanita itu meneruskan tuntutan fasakh.

Jelas beliau, mayat mangsa ditemui di bilik hotel itu dengan kesan tikaman serta pisau.

Loading...
Terkini