comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sang Kelembai gagal batal tuduhan buat hantaran jelik

Bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin (tengah) ketika didakwa di mahkamah pada 31 Januari lalu.- Foto fail

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan menolak representasi dikemukakan bekas Setiausaha UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Abd Zarin Mohd Yasin untuk menggugurkan tuduhan membuat hantaran jelik mengenai urusan pembelian vaksin dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal berkata keputusan itu dimaklumkan kepada pihak pembelaan Abd Zarin, 72, yang juga penulis blog dengan nama pena Sang Kelembai menerusi e-mel.

“Representasi ditolak dan perkara itu dimaklumkan kepada pihak pembelaan menerusi e-mel,” katanya ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali di sini hari ini.

Peguam bela Abd Zarin, Datuk Abu Bakar Isa Ramat mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan representasi kedua kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) minggu ini.

“Kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan seterusnya untuk memaklumkan status representasi kedua dan tarikh perbicaraan kes itu,” katanya.

Hakim menetapkan sebutan kes pada 4 Julai ini bagi mengetahui status representasi, manakala perbicaraan pada 12 Ogos.

Sementara itu, Abu Bakar ketika ditemui media berkata representasi pertama diserahkan kepada Unit Pendakwaan Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu, manakala keputusannya diterima 23 April.

Pada 31 Januari lalu, penulis blog itu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Abd Zarin dituduh secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain menerusi Facebook Zaharin Mohamad Yasin pada jam 2.03 pagi, 21 Disember 2020.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini