SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor daripada pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dalam satu ceramah politik.
Beliau bagaimanapun masih berdepan satu lagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang akan dibicarakan 24 hingga 28 Februari depan.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Masri Mohd Daud di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Muhammad Sanusi, 50, didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, kira-kira jam 11 malam ,11 Julai 2023.
Beliau didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.