comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sarjan wanita didakwa terima suapan RM3,000

SHAH ALAM: Seorang anggota polis wanita berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anaknya bagi kesalahan cabul, dua tahun lalu.

Tertuduh, Nur Mastisha Maidinsha, 39, didakwa sebagai penolong pegawai penyiasat di Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan, iaitu wang tunai berjumlah RM 3,000 daripada seorang lelaki, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas anak lelaki tersebut bagi kesalahan cabul.

Wanita itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah stesen minyak di Batu 9, Cheras dekat sini pada jam 8.05 malam, 12 Oktober 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin bagi kes rasuah yang dihadapi Nur Mastisha di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

“Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam turut menetapkan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada setiap minggu pertama setiap bulan. Justeru itu, kami memohon kes ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah (MSJ) Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama kes yang dihadapinya semalam (setuju terima rasuah),” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membantah permohonan berkenaan.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud membenarkan permohonan mengenai jaminan dan syarat tambahan serta memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur selain menetapkan tarikh sebutan di mahkamah tersebut pada 17 Mac depan.

Semalam di Kuala Lumpur, polis wanita itu mengaku tidak bersalah menerima suapan RM3,000 daripada seorang lelaki sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap anak lelaki itu.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa melakukan kesalahan itu di IPK Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2022.

 

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini