comscore
Tumpuan :
Mahkamah

‘Saya bukan nak rebut anak, tapi mahu anak dapat kasih sayang’-  Fizi Ali 

Penyampai radio, Fizi Ali hadir bagi sebutan kes hadhanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Tindakan diambil penyampai radio, Fizi Ali untuk memfailkan tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak bukan berniat untuk berebut anak perempuanya, Nur Ameena Sofia bersama bekas isterinya, Shakilla Khoriri.

Sebaliknya mahukan anaknya mendapat kasih sayang sempurna daripada kedua-dua pihak.

Fizi atau nama sebenarnya, Mohd Hafizudin Alimudin, 37, berkata Ameena berhak menerima kasih sayang yang sempurna daripada ibu bapa.

“Saya bukan nak rebut anak, tapi mahu anak dapat hak yang sepatutnya dan kasih sayang daripada mak dan ayahnya.

“Saya buat ini kerana sebagai bapa saya tidak mahu dituduh macam-macam. Itu yang saya nak perjuangkan. Saya tahu ramai mesej langsung (DM) kerana mungkin mengalami nasib sama seperti saya.

“Oleh kerana perbincangan saya dan bekas isteri tidak dapat diselesaikan, saya rasa inilah jalan paling sesuai sekali (hadanah),” katanya kepada BH Online.

Ditanya bila kali terakhir bertemu dengan anaknya, Fizi bagaimanapun enggan memberi komen mengenai perkara itu.

Fizi memfailkan hadanah bulan lalu hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini bagi sebutan kes tuntutan hadanah.

Bekas isterinya, Shakilla turut hadir sama.

Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian.

Sebelum ini, Fizi meluahkan rasa kesal apabila niatnya untuk berjumpa Nur Ameena semasa majlis graduasi di sebuah tadika pada tidak kesampaian pada November tahun lalu.

Kata Fizi, dia menunggu Nur Ameena untuk tampil membuat persembahan pada majlis konvokesyen, namun kelibat anaknya itu tiada.

Bagai tiada kesudahan, Fizi kemudiannya memilih untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan kemelut membabitkan urusan penjagaan anak dengan Shakilla.

Difahamkan, Fizi masih tidak dapat berhubung dengan anak kesayangannya itu apabila panggilan telefon tidak diangkat dan mesej tidak berbalas.

Fizi dan Shakilla mendirikan rumah tangga pada 18 Januari 2018, namun berpisah pada Disember 2021.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Nur Ameena Sofia yang kini berusia 5 tahun.

Fizi kemudiannya mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan Siti Zulaikha pada 23 Oktober tahun lalu.

Loading...
Terkini