BATU PAHAT: Seorang peniaga makanan, Muhammad Asyraf Hussin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri seluar di sebuah pasar raya di Taman Flora Utama, di sini Selasa lalu.
“Saya curi seluar sebab nak pakai waktu kerja. Gaji saya tak menentu,” kata Asyraf sebaik ditanya oleh mahkamah.
Muhammad Asyraf, 28, membuat pengakuan bersalahnya sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin.
Tertuduh yang masih bujang didakwa mencuri dua helai seluar bernilai RM99.80 di sebuah pasar raya sebelum perbuatannya disedari melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Perbuatan itu dilakukan 7 November lalu sebelum dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Seorang peniaga makanan, Muhammad Asyraf Hussin mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri seluar di sebuah pasar raya di Taman Flora Utama, di sini Selasa lalu. pic.twitter.com/NlqSlxysav
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 13, 2023
Bagi kesalahan itu, dia boleh dipenjara 10 tahun dan juga denda manakala hukuman penjara serta denda atau sebatan boleh juga dikenakan bagi kesalahan kedua.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip manakala Muhammad Asyraf, diwakili Kamarul Arifin Nordin dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Kamarul Arifin sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman paling ringan memandangkan anak guamnya sudah insaf dan perlu menanggung kedua ibu bapanya.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan membantah dan meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sebulan dari tarikh tertuduh ditahan 8 November lalu.