ALOR SETAR: “Dalam kes ini memang saya marah, saya emosi kerana saya pun ada anak, dibela dari kecil sampai besar masuk universiti, ada masa depan, senang-senang dibunuh. Selepas itu senang-senang minta lepas hukuman gantung,” hujah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fuad Abdul Aziz.
Hujahan itu dibuat Mohd Fuad bagi memohon Mahkamah Persekutuan yang bersidang di sini hari ini mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Taiping terhadap Syarafi Abu, 33, yang didapati bersalah membunuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang, Nur Syuhada Johari, 20, pada 2015.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bagaimanapun menukar hukuman mati ke atas Syarafi kepada penjara 38 tahun dan 14 sebatan mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat 2023.
Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan memerintahkan hukuman penjara ke atas Syarafi berjalan serentak dari tarikh dia ditahan pada 1 Februari 2015.
Terdahulu peguam pemohon, Farida Mohammad meminta mahkamah mengenakan hukuman penjara antara 31 hingga 35 tahun berdasarkan fakta kes bahawa Syarafi tidak merancang membunuh Nur Syuhada, sebaliknya berlaku pergaduhan antara mereka.
“Mengikut fakta kes, pemohon dan si mati sebenarnya kenal lama kerana sekampung dan pada pagi kejadian, mereka keluar bersama apabila pemohon datang universiti di mana si mati belajar dan membawanya keluar dan pergaduhan berlaku semasa di lebuh raya.
“Pemohon memang ada sejarah sakit mental dan pernah dirujuk ke hospital bahagia dan kini menjalani proses pemulihan di penjara. Pemohon juga sudah meminta maaf atas apa berlaku dan dengan rendah diri memohon hukuman lebih ringan dijatuhkan,” hujahnya.
Mohd Fuad dalam hujahan balasnya, membantah sekeras-kerasnya permohonan Syarafi dan meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati atau sekurang-kurangnya penjara maksimum 40 tahun dan 20 sebatan dikenakan.
“Saya minta maaf Yang Arif untuk kes ini saya bantah keras, saya mohon hukuman gantung dikekalkan. Kalau difikirkan, saya baca kes ini saya sedih geram. Kita pun ada anak, kita sudah besarkan, masuk universiti dan ada masa depan. Ditikam pula dengan pisau rambo bukan pisau dapur, pisau yang ada gerudi ditikam di tengkuk,” hujahnya.
Dalam kejadian 2015 itu, Syarafi didakwa membunuh Nur Syuhada yang juga pelajar Diploma Pengurusan Pelancongan dan Hotel UiTM Pulai Pinang, di Kilometer 228.2 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Bukit Gantang, Perak, pada jam 11.55 pagi, 2 Februari 2015.
Dalam kejadian itu, berlaku perselisihan faham antara mereka sebelum Nur Syuhada dikelar di leher dan ditinggalkan di lebuh raya sebelum ditemui orang ramai dalam keadaan berlumuran darah dalam kereta.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.