comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Saya mendapatkan nasihat undang-undang, memperbetulkan beberapa kesilapan fakta – Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR: Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan afidavit membetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit difailkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum.

Susulan afidavit yang difailkan Ahmad Zahid yang turut mengaitkan namanya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, berkata beliau sudah mengambil langkah mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai berhubung perkara berkaitan.

“Saya ingin menyatakan secara rasmi bahawa pada hari ini saya sudah melihat Afidavit Tambahan No. 3 yang diikrarkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 9 April 2024 dalam prosiding undang-undang yang dimulakan oleh Datuk Seri Mohd Najib Razak di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melalui Prosiding Semakan Kehakiman No. WA-25-136-04/2024.

“Sehubungan itu, saya mengambil langkah untuk mendapatkan nasihat undang-undang yang sesuai dan akan membuat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk meminta kebenaran bagi memfailkan afidavit saya untuk memperbetulkan beberapa kesilapan fakta yang terkandung dalam afidavit berkenaan.

“Pendirian saya bukan untuk mempertikaikan merit isu yang sedang berlangsung. Saya hanya ingin memastikan bahawa fakta sebenar direkodkan dengan betul supaya semua pihak, khususnya Mahkamah Tinggi, dapat menilai kesemua fakta material dengan sewajarnya,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu, menerusi afidavit yang diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April lalu, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau dimaklumkan mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 oleh Tengku Zafrul ketika pertemuan di rumah Presiden UMNO berkenaan di Country Heights, pada 30 Januari lalu.

Titah Adendum itu supaya bekas Perdana Menteri berkenaan menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilaporkan berkata, Tengku Zafrul menunjukkan kepadanya salinan Titah Adendum itu pada telefonnya, yang diambil gambar dan imbas sendiri daripada salinan asal seperti ditunjukkan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini