comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mahkamah Rayuan kekal keputusan sekolah vernakular berperlembagaan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan empat badan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta keabsahan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular terbabit.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Supang Lian yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini dan memutuskan kewujudan serta penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan Bahasa Cina serta Tamil di sekolah berkenaan adalah berperlembagaan.

NGO selaku perayu terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (GAPENA), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

MAPPIM, GAPENA dan ISMA merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala i-Guru merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang menolak saman pemula masing-masing pada 29 Disember 2021 dan 29 Mei 2022.

Pada 29 Disember 2021, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak saman Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MAPPIM, GAPENA dan ISMA.

GPMS bagaimanapun tidak memfailkan rayuan.

Datuk Mohd Nazlan ketika itu memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan Bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah tersebut adalah sah serta berperlembagaan.

Pada 29 Mei tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Abazafree Mohd Abbas (kini Hakim Mahkamah Tinggi) turut memutuskan kewujudan sekolah vernakular adalah sah dan berperlembagaan ketika beliau menolak saman I-Guru.

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili MAPPIM dan GAPENA pada sidang medianya selepas memberitahu, pihaknya akan memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 30 hari selepas dibenarkan mahkamah.

Loading...
Terkini