comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Sembunyi kelahiran & kebumi mayat bayi: Amah warga Indonesia mengaku bersalah 

Oleh: Kumaran Rajamoney

KANGAR: Seorang pengasuh warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini, atas pertuduhan menyembunyikan kelahiran bayi lelakinya, pada Disember lalu.

Tertuduh, Yuni Widya Sari, 28 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim.

Mengikut pertuduhan, ibu tunggal dua anak itu didakwa menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan cara mengebumikan mayat bayi lelaki yang dilahirkannya.

Perbuatan didakwa dilakukan pada 6.30 pagi, 21 Disember lalu di Jalan Mutiara Jaya, Taman Mutiara, Kangar.

Lokasi penemuan bayi lelaki yang dipercayai dikebumikan suspek.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Hanani Che Nor memohon hukuman ringan kerana tertuduh menanggung dua anak berusia 4 dan 5 tahun yang dijaga ibunya di Medan, Indonesia.

Tertuduh datang ke Malaysia sejak Mei 2023 dan bekerja sebagai pengasuh.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izham Ali , yang memohon hukuman setimpal dan pasport tertuduh diserah kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Mendengar hujah kedua-dua pihak, Majistret membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.

Tertuduh bagaimanapun gagal membayar jaminan.

Kes akan disebut semula pada 15 Februari depan sementara menanti laporan bedah siasat dan laporan DNA.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini