comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sengaja sebabkan kematian bayi baru lahir, wanita dihukum penjara 15 tahun 

TAWAU: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan sengaja menyebabkan kematian bayi lelaki yang baru dilahirkannya di tandas sebuah hospital dekat sini pada 13 Oktober tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mazidah Minggo, 24 dan mensabitkannya dengan pertuduhan mengikut Seksyen 309B Kanun Keseksaan.

Mazidah, 24, dihukum penjara 15 tahun atas pertuduhan sengaja meninggalkan bayi yang baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya, pada 13 Oktober tahun lalu. – FOTO: NSTP

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkap iaitu pada 19 Oktober 2023.

Rosli dalam penghakiman ringkasnya berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira fakta kes, hujah dan faktor pemberat pihak pendakwaan, rayuan tertuduh serta faktor kepentingan awam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja meninggalkan bayi baru dilahirkan sehingga menyebabkan kematiannya.

Perbuatan itu dilakukan di tandas awam perempuan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tawau, di sini, kira-kira jam 7.10 pagi pada 13 Oktober tahun lalu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Mazidah dalam rayuannya memohon mahkamah supaya diberi hukuman ringan.

Bagaimanapun, Mohd Suhaimi dalam hujahnya memohon hukuman berat memandangkan kesalahan dilakukan tertuduh serius, selain faktor berkepentingan awam.

Beliau menegaskan, mangsa dalam kes ini adalah anak kandung tertuduh yang sepatutnya dipelihara dan dijaga dengan penuh kasih sayang, namun tertuduh tergamak memperlakukan dengan tindakan kejam yang membawa kepada kematian bayinya itu.

“Kes ini juga mendapat liputan meluas media,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini