comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Seorang lagi direman kes rasuah projek lebuh raya

 


Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang lagi individu kerana turut disyaki terbabit rasuah membabitkan kerja-kerja menyiapkan satu pakej pembinaan Projek Lebuh Raya bernilai lebih RM1 bilion di Lembah Klang.

Perintah reman selama tiga hari sehingga Jumaat ini terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini hari ini.

Menurut sumber, suspek telah meminta dan menerima rasuah daripada beberapa syarikat sebagai balasan kerana melantik syarikat tersebut untuk mengambil alih kerja-kerja menyiapkan lebuh raya berkenaan yang sebelum ini dijalankan oleh satu syarikat lain.

Jelasnya, penahanan suspek adalah susulan tangkapan terhadap lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif (CEO) bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya oleh SPRM sebelum ini kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.

“Suspek kesembilan ini telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan kira-kira jam 7 malam semalam.

“Jumlah rasuah yang membabitkan kesemua suspek masih lagi dalam siasatan, bagaimanapun pembinaan dua projek lebuh raya ini keseluruhannya berjumlah hampir RM11 bilion,” kata sumber.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini