comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sepasang kekasih mengaku bersalah buang bayi

Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka yang berusia tujuh hari, Sabtu lalu.

KEMAMAN: Sepasang kekasih mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengabaikan bayi lelaki mereka yang berusia tujuh hari, Sabtu lalu.

Pengakuan itu dibuat kedua-dua tertuduh, Nur Aisyah Azila Zairul Akmal, 21, dan Muhammad Alhafiz Mukminin Mohd Noor, 24, sebaik pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh sebagai orang yang mempunyai tanggungjawab penjagaan ke atas kanak-kanak yang berusia tujuh hari itu didapati telah mengabaikan kanak-kanak tersebut dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak itu.

Kesalahan itu dilakukan kedua-kedua tertuduh sekitar pukul 7 hingga 7.15 pagi di Kedai Ayam Bukit Jabur Kubur, Jalan Air Putih, Chukai pada 18 Mei lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan 28 Mei ini sebagai tarikh pengurusan fakta dan jatuh hukuman.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM2,000 seorang dengan seorang penjamin.

Pada Sabtu lalu, seorang bayi lelaki seberat kira-kira 3 kilogram ditemui ditinggalkan di atas lantai sebuah kedai menjual ayam.

Bayi tersebut ditemui seorang pemandu lori yang mahu menghantar bekalan ayam di kedai itu kira-kira pukul 7.30 pagi selepas mendengar tangisan bayi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini