comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sepasang kekasih, seorang lelaki didakwa edar dadah bernilai RM1.445 juta 

Ong Li Ren,30, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Tiga individu termasuk sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah bernilai RM1.445 juta.

Mengikut pertuduhan pertama Ong Li Ren, 30, dan kekasihnya Ng Hui Xin, 27, didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan anggaran berat kasar 2,688 gram di sebuah pangsapuri di Taman Seri Setanggi di sini pada 8.20 pagi, 28 September lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa secara bersama mengedar dadah jenis ketamin dengan anggaran berat kasar 164 gram di tempat, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 39B(1)(a).

Ng Hui Xin, 27, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini. – FOTO: NSTP

Seorang lagi tertuduh, Lim Wen Foong, 35, didakwa  mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 4,258.3 gram di sebuah rumah di Taman Gaya di sini pada  4.40 petang, 28 September lepas mengikut Seksyen 39B(1).

Lim juga berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis Methamphetamine dengan berat kasar lima gram di tempat, waktu dan tarikh serupa mengikut Seksyen 12(2) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum lebih lima tahun dan dikenakan sebatan tidak kurang dari tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga dituduh mengedar dadah jenis Nimetazepam dengan berat kasar 15.8 gram di tempat, waktu dan tarikh sama di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Salini namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Sementara itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, Ong berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 293.30 gram di tempat letak kenderaan Taman Sentosa di sini pada 6.45 pagi, 28 September lepas mengikut Seksyen 39B(1)(a) .

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen dan R Nevina manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 12 Januari tahun depan.

Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga individu termasuk sepasang kekasih dan merampas dadah lebih RM1.445 juta dalam empat serbuan sekitar daerah ini, bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, siasatan awal polis percaya ketiga-tiga suspek adalah dalang dalam aktiviti pengedaran dadah di daerah ini yang dipercayai bergiat aktif sejak Ogos lepas dengan menjadikan pangsapuri serta rumah teres dua tingkat sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.

Beliau berkata sindiket mengisi dadah dalam paket minuman segera dan dijual dengan harga antara RM200 hingga RM300 satu paket. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini