comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Simbah Cat Ke Rumah, Dua Individu Dituduh Khianat Kena Denda RM12,300

ALOR SETAR: Dua lelaki didenda RM12,300 selepas disabitkan dengan empat kesalahan khianat dan menakutkan secara jenayah di dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Dalam pertuduhan di Mahkamah Majistret 3, tertuduh Mohd Nain Abdullah, 38, dan Asmadi Abu Hassan, 41, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Zul Himi Latif.

Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat di kediaman seorang individu sehingga menyebabkan mangsa kerugian RM3,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara jam 2.11 hingga 2.12 petang, 10 September lalu di Kampung Borhan, Jalan Langgar di sini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dalam pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menakutkan secara jenayah dengan menampal notis bertulis ugutan secara jenayah terhadap seorang lelaki pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Bagi kesalahan ini, mereka didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mahkamah menetapkan hukuman denda masing-masing RM6,300 ataupun hukuman penjara 18 bulan sekiranya kedua-dua tertuduh gagal membayar denda ditetapkan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asma’a Fadzil, manakala peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Farhana Fadzil mewakili Muhammad Naim dan Saidina Khadijah Zaharah Khairunnisa Mohd Noor mewakili Asmadi.

Terdahulu, dalam dua lagi pertuduhan dibacakan di mahkamah majistret berasingan, kedua-dua tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan menyimbah cat hingga menyebabkan kerugian RM500 di kediaman seorang individu di Taman Desa Anggerik, Jalan Perak, antara jam 2.38 hingga 2.39 petang pada 10 September lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, Mohd Nain dan Asmadi turut didakwa dengan sengaja menakutkan secara jenayah seorang wanita berusia 50 tahun dengan cara menampal notis yang memberi amaran supaya membayar pinjaman pada waktu, tarikh dan lokasi sama.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor dan dikenakan hukuman denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan ataupun penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda bagi setiap kesalahan.

Mereka didakwa Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Ruslan Usman manakala tertuduh diwakili peguam YBGK, H A Chua. – BERITA HARIAN

Loading...

Terkini