comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Simpan bahan lucah, 5 warga China dipenjara 5 bulan 

Lima lelaki warga China dihukum penjara 5 bulan oleh Mahkamah Majistret, atas pertuduhan menyimpan bahan lucah untuk tujuan pengedaran pada minggu lalu – FOTO: NSTP

SEREMBAN: Lima lelaki warga China dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menyimpan bahan lucah untuk tujuan pengedaran minggu lalu.

Majistret Syed Farid Syed Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Jiang Lidong, 32; Chen Shaoyi, 26; Lin Zehong, 27; Wang Longxing, 36 dan Chen Jinjiang, 34, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dalam milikan mereka iaitu bahan lucah yang disimpan dalam bentuk gambar dan video bagi maksud pengedaran dalam peranti lima unit telefon bimbit dan satu set komputer riba.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Mac 2024 jam 1 tengah hari di sebuah rumah di Garden City Homes, di Seremban 2, di sini.

Berikutan itu, mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun sama.

Bagaimanapun seorang lagi tertuduh warga Cina iaitu Lin Chaojin, 28, yang turut berdepan pertuduhan itu, mengaku tidak bersalah.

Selain itu, kesemua tertuduh dengan tujuan untuk melakukan pakat jahat jenayah, telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu menjalankan penipuan atas talian yang bertentangan dengan Seksyen 417 Kanun Keseksaan pada tarikh dan lokasi sama.

Berikutan itu, mereka telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 120A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 120B akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, kesemua mereka mengaku tidak bersalah.

Majistret, Nurul Saqinah Rosli menetapkan jaminan RM8,000 bagi setiap tertuduh, dengan syarat penjamin adalah dua rakyat negara ini serta perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Selain itu, Lin Chaojin turut berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963(Pindaan 2002) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(3) akta sama, kerana berada di negara ini tanpa pas yang sah.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebelum mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin rakyat Malaysia serta pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula bagi kesemua kes ialah pada 13 Mei ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini