comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Simpan lebih 30,000 liter diesel tanpa lesen, pekerja stor didakwa

Chee Hoe Kee selaku OKS mengaku tidak bersalah menyimpan 30,460 liter minyak diesel tanpa lesen ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

MELAKA: Seorang pekerja stor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas pertuduhan menyimpan 30,460 minyak diesel tanpa lesen di sebuah premis dekat Krubong, dua tahun lalu.

Chee Hoe Kee, 54, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sejurus dibacakan pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa bersama dua warga Bangladesh, Md Masud Rana dan Jamal Uddin, mempunyai kawalan terhadap minyak diesel berjumlah 30,460 liter dalam keadaan menimbulkan syak munasabah melakukan mengikut Peraturan 31(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan secara borong atau runcit tanpa lesen.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis tanpa nama di Lot 2782, Jalan PK 26, Kawasan Perindustrian Krubong, di sini, kira-kira jam 4.30 petang pada 1 September 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]1 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit Kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua, denda sehingga RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, hanya Hoe Kee berada di mahkamah, manakala dua warga Bangladesh terbabit tidak hadir.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norhysham Md Noor dan Muhammad Ashraf Nashruddin Ahmad Nazri, sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin ditawarkan pihak pendakwaan, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana dia kini tidak bekerja.

Pihak pendakwaan turut memaklumkan saman belum dapat diserahkan kepada dua lagi warga asing yang terbabit dalam kejadian itu.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dan kes untuk sebutan semula pada 13 Mac depan untuk serahan dokumen, lantikan peguam dan status saman kepada dua lagi OKS.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini