comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sindiket seludup warga asing: Pemilik syarikat warga Bangladesh direman

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seorang lagi pemilik syarikat warga Bangladesh ditahan reman kerana dipercayai terbabit sindiket yang bersekongkol dengan merasuah penguat kuasa bagi membawa masuk kumpulan warga asing ke negara ini menerusi modus operandi ‘laluan kaunter khas’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 16 September depan terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya, di sini pagi tadi.

Menurut sumber, suspek telah ditahan sekitar Kuala Lumpur menerusi Op Pump kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.

“Suspek dan beberapa ejen sindiket berkenaan dipercayai telah membayar sejumlah wang rasuah kepada beberapa pegawai di sebuah agensi penguat kuasa antara RM200 hingga RM25,000 sebagai balasan untuk memudahkan kumpulan warga asing melepasi pintu masuk udara negara tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya.

Sumber berkata, wang rasuah tersebut sebagai balasan bagi melindungi, memudahkan urusan dan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas warga asing yang tidak memenuhi syarat serta tidak mengikut prosedur yang sah di bawah Akta Imigresen 1956/63 (Akta 155).

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Zainul Darus ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terbabit.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Sebelum ini, media melaporkan, SPRM membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan dipercayai didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan menerusi modus operandi ‘laluan kaunter khas’.

Susulan itu, empat pemilik syarikat masing-masing dua lelaki dan wanita antara puluhan individu direman bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini