comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sindiket tipu pekerjaan: Wanita hamil 7 bulan antara 11 didakwa 

Wanita hamil tujuh bulan antara 11 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping, hari ini atas kesalahan terbabit dengan aktiviti penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud, bulan lalu. – FOTO: NSTP

TAIPING: Wanita hamil tujuh bulan antara 11 individu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penipuan dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud, bulan lalu.

Wanita berkenaan, Ng Kai Yee, 22, bersama 10 yang lain termasuk tujuh lelaki bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim, Nabisha Ibrahim.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lKai Yee bersama Toh Khai Shean, 24; Lee Kong Pa, 22; Yeoh Li Kee, 26; Chuah Cher Sheng, 25; Lam Yong Jun, 24; Ng Zi Cong, 25; Yeong Yong Long, 24; Wong Li Jia, 23; Leong Ying Zhi, 21, dan Leyu Yee Ying, 24, didakwa bersama-sama sebagai pihak pakatan jenayah, melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu cuba menipu mangsa dengan tawaran pekerjaan tidak wujud.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Taman Desa Tekkah Sentosa dalam daerah Larut, Matang dan Selama, di sini pada jam 1.30 tengah hari, 14 Ogos lalu.

Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 120(B)(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nor Arfahanim Azureen Arfanuddin mencadangkan kesemua tertuduh diikat jamin RM25,000 berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam mewakili Kai Yee, Privesh Paul Singh memohon anak guamnya yang sedang hamil tujuh bulan itu diberikan jaminan minimum dalam lingkungan RM2,000.

Peguam mewakili 10 tertuduh lain iaitu Tan Kian Peng juga memohon anak guamnya dikenakan jaminan rendah dan pada kadar munasabah atas alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap selain perlu menanggung ibu bapa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh selain membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh Nor Arfahanim Azureen iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Tarikh sebutan semula kes itu ditetapkan pada 29 Oktober dan 8 November depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini