comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Hakim arah Siti Bainun ke penjara serta-merta

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini  memerintahkan Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31, menjalani hukuman di Penjara Kajang bermula hari ini, selepas dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana bersalah, mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali Bella.

Hakim, Izralizam Sanusi, mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonan peguam bela pengasas Rumah Bonda itu, Mohammad Farhan Maaruf, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi.

Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas, Zahida Zakaria dan Shakira Aliana Alias.

Loading...
Terkini