Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas kerana disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu dan penipuan bernilai kira-kira RM2 juta.
Suspek direman empat hari sehingga 16 November ini selepas permohonan tersebut di keluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddindi Mahkamah Majistret di sini pagi tadi.
Menurut sumber, lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2019 sehingga tahun ini.
“Suspek disyaki terlibat dan bersubahat untuk memohon serta meluluskan tuntutan palsu syarikat kenalan bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta menyeleweng wang syarikat dengan memberikan maklumat dalaman kepada syarikat kenalan tersebut mengenai harga-harga pembida syarikat lain.
“Suspek juga dipercayai telah menipu syarikat tempat dia bekerja dengan menyalurkan maklumat mengenai keperluan perolehan kerja-kerja pembaikan mesin pengeluaran barangan asas yang melibatkan jumlah kira-kira RM2 juta,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.