Tumpuan :
Mahkamah

SPRM tahan reman pengerusi masjid, disyaki kemuka senarai penerima tidak layak

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu telah menahan reman seorang pengerusi masjid di sebuah daerah di negeri ini, kerana disyaki mengemukakan senarai nama asnaf berstatus miskin yang tidak layak bagi agihan zakat kepada sebuah badan kebajikan swasta.

Perintah reman selama enam hari sehingga 10 November terhadap suspek lelaki berusia lingkungan 50-an telah dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kemaman, Terengganu pagi tadi.

Suspek telah ditahan kira-kira jam 2.45 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman, Terengganu.

Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan tersebut pada April lalu dan seramai 50 penerima yang tersenarai telah menerima wang zakat bernilai RM1,000 setiap seorang.

Suspek telah menerima dana zakat tersebut daripada sebuah syarikat minyak di negeri ini, di mana suspek merupakan salah seorang pekerja di situ.

Suspek telah ditangkap bersama isterinya yang turut tersenarai antara penerima wang zakat tersebut bagaimanapun isterinya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan tidak menolak kemungkinan beberapa tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini