comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Sri Ram meninggal: Pendakwaan Najib, Rosmah akan diteruskan pasukan sama – Peguam Negara

KUALA LUMPUR: Kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta rasuah berkait projek hibrid solar untuk sekolah luar bandar di Sarawak, yang masing-masing dihadapi Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, akan terus dikendalikan pasukan pendakwaan yang sama.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, menjelaskan pendakwaan kes yang dikendalikan mendiang Datuk Seri Gopal Sri Ram sebelum ini, tidak akan terjejas selepas bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu meninggal dunia, semalam.

“Pendakwaan akan diteruskan oleh pasukan sama,” katanya kepada BH, di sini.

Sri Ram, 79, adalah ketua pasukan pendakwaan dalam kes penyelewengan dana 1MDB dihadapi Najib, dan pendakwa raya utama bagi perbicaraan kes rasuah dihadapi Rosmah berhubung projek hibrid solar bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak, serta dakwaan pengubahan wang haram.

Pada 8 Disember tahun lalu, Mahkamah Rayuan menetapkan 18 Mei depan untuk mendengar rayuan Rosmah berhubung semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan Sri Ram.

Ia selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonan Rosmah untuk memulakan semakan kehakiman itu, 30 Ogos tahun lalu.

Sri Ram meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada jam 12.15 tengah hari semalam. Difahamkan, mendiang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak minggu lalu bagi menerima rawatan, dipercayai akibat jangkitan paru-paru. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini