Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA TERENGGANU: Pasangan suami isteri yang dicekup bersama 6 kilogram dadah di sebuah rumah di Jalan Kubang Ikan, di sini, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Mohd Tarmizi Ramle dan Maline Mohd Fauzi, masing-masing berusia 34 dan 37 tahun, berdepan dengan dua pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama, pada 1 September lalu, kira-kira jam 1.00 petang, kedua-duanya secara bersama di sebuah rumah di Taman Permin Jaya Fasa 4, Chendering, Kuala Terengganu, didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5708.18 gram.
Bagi pertuduhan kedua pula, pada hari waktu, dan lokasi yang sama, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar 631.91 gram dadah jenis nimetazepam.
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.
Ketika pertuduhan dibacakan, kedua-dua tertuduh mengangguk faham, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nur Amalina Najwa Ali manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Zubairi Salleh.
Mahkamah menetapkan 13 November, sebagai tarikh sebutan semula untuk laporan kimia.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.