comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri didakwa tipu hampir RM200,000 projek lembu 

Suami isteri didakwa di mahkamah hari ini kerana menipu berkaitan tawaran pembelian lembu Thailand tidak wujud membabitkan kerugian RM185,137.50, tahun lalu -FOTO: NSTP

MELAKA: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, kerana menipu berkaitan projek pembelian lembu tidak wujud dari luar negara menyebabkan mangsa kerugian hampir RM200,000 tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Safid Affandi Shamsudin dan Nor Salbiah Johari, masing-masing berusia 33 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik dibacakan dan diterangkan pertuduhan itu dalam prosiding di hadapan Hakim Azaraorni Abd Rahman.

Mereka bersama-sama didakwa memperdayakan mangsa dengan menawarkan projek tawaran pembelian lembu dari Thailand yang tidak wujud hingga mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah RM185,137.50 melalui akaun Maybank.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis dekat Malim Jaya, di sini, antara 28 hingga 29 Mei 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 akta sama yang boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda jika disabitkan kesalahan.

Berikutan kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM90,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.

Peguam, Muhammad Denial Khairul Hizam merayu jaminan dikurangkan atas alasan Muhammad Safid Affandi hanya berniaga sendiri manakala tertuduh kedua seorang jururawat.

Katanya, anak guamnya turut menanggung dua anak berusia empat dan dua tahun serta abang yang juga orang kurang upaya (OKU) serta ibu berusia 70 tahun yang uzur.

Azaraorni kemudian membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM25,000 setiap seorang berserta syarat melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan pasport diserah kepada mahkamah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini