Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri didenda RM5,000, jalankan perniagaan tanpa lesen

Foto hiasan

PETALING JAYA: Pasangan suami isteri yang juga pemilik syarikat kawalan keselamatan masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana menjalankan perniagaan persendirian tanpa lesen, Oktober tahun lalu.

Majistret Farah Azura Mohd Saad membuat keputusan itu selepas kedua-dua tertuduh iaitu V Anbarasan, 47, dan isterinya, K Shoba Devi, 45, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dihadapi.

Farah Azura turut mengarahkan kedua-dua tertuduh dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Anbarasan selaku pemegang saham dan Shoba Devi sebagai pengarah syarikat didakwa menjalankan perniagaan agensi persendirian tanpa mempunyai lesen seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama.

Kesalahan itu dilakukan di Pos Pengawal Badan Pengurusan Bersama (JMB) Kompleks Suria Kinrara, Puchong, dekat sini pada jam 9.30 pagi, 21 Oktober 2024.

Oleh itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Agensi Persendirian 1971 yang boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, pada 21 Oktober 2024, penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan diri kepada empat lelaki di pos pengawal kompleks itu dan hasil pengakuan mereka, mereka mengakui sebagai pengawal keselamatan yang bekerja di syarikat SA Protective Task Force Sdn Bhd milik tertuduh.

Hasil semakan Sistem Pengurusan Industri Keselamatan (eSIMS) KDN mendapati syarikat itu tidak berdaftar dengan agensi itu.

Siasatan mendapati syarikat itu tidak mempunyai lesen yang dikeluarkan KDN bagi menjalankan perniagaan agensi persendirian.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Siti Salmi Ashaari, memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat kawalan keselamatan lain.

“Syarikat ini tiada lesen untuk menjalankan perniagaan pengawal keselamatan yang kesannya boleh mengganggu gugat keselamatan negara.

“Mereka mengambil pengawal keselamatan tanpa tapisan dan sekiranya berdaftar dengan KDN, kita akan memeriksa dan melalui tapisan sama ada pengawal keselamatan mempunyai sejarah rekod lampau dan jenayah,” katanya.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guam yang menjimatkan masa serta kos mahkamah.

“Kedua-dua tertuduh benar-benar insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu.

“Anbarasan yang bekerja sebagai penyelia tapak binaan dengan gaji RM2,000 menanggung dua anak masing-masing berusia 15 dan 16 tahun,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini