comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami isteri tidak mengaku pukul budak 5 tahun guna rotan, penyangkut baju  

SEREMBAN: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas anak lelaki mereka yang berusia lima tahun, sejak April 2023.

Mohammad Zul Shafiq Shammadi, 29 dan Nurwadahtulfatanah Mohamad, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi selepas pertuduhan dibacakan.

Mereka dituduh secara bersama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah menganiayai atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal dengan cara memukul menggunakan rotan dan penyangkut baju di tubuh badan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan Pancaindera 6, Mantin, dekat Nilai antara April 2023 sehingga 23 Mac lalu.

Tertuduh telah melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan, boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Syamimi Farhana Muhammad A Aziz menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.

Mahkamah kemudianya menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 bagi setiap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Sebutan semula bagi laporan perubatan ditetapkan pada 17 Mei depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini