comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami mengaku salah pukul isteri dengan bongkah kayu

Tertuduh yang memukul isteri dengan bongkah kayu (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini.

KUALA PILAH: Seorang suami dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas memukul isterinya dengan bongkah kayu dalam kejadian pada 22 September lalu.

Tertuduh M Vikneswaran, 36, dari Bahau mengaku salah melakukan perbuatan itu sebaik pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norma Ismail.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu pada jam lebih kurang 9.30 pagi di sebuah rumah di Taman Sri Mahsan, Bahau.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera ke atas isterinya yang berusia 31 tahun menggunakan bongkah kayu ukiran gajah.

Tertuduh didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Rosli Muhamad manakala tertuduh tidak wakili peguam.

Tertuduh sebelum itu turut memaklumkan kepada mahkamah, isterinya akan menarik semula laporan berkaitan kes berkenaan.

Mahkamah tidak memberi sebarang jaminan dan menetapkan 29 Oktober ini bagi sebutan semula kes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini