comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suami Miera Leyana sah cerai isteri pertama talak satu

KUALA LUMPUR: Usaha isteri pertama menyelamatkan rumah tangga yang dibina selama 28 tahun gagal apabila suami pelakon, Miera Leyana akhirnya melafazkan cerai talak satu terhadap  Adibah Abdul Mutalib, 50 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Rosland Othman, 50, melafazkan cerai kepada Adibah tepat jam 10.50 pagi di hadapan Hakim Siti Noraini Mohd Ali.

Peguam, Junid Ramali yang mewakili Adibah berkata, perceraian yang berlaku antara Rosland selaku plantif dan anak guamnya, Adibah (defendan) selepas Jawatan Kuasa Pendamai (JKP) melaporkan perdamaian gagal dicapai.

“Menerusi laporan JKP memaklumkan kepada mahkamah perdamaian gagal dicapai. Mereka tidak boleh mendamaikan kedua-dua belah pihak, jadi mahkamah mengarahkan atau memberi kebenaran kepada pihak plantif (Rosland) melafazkan talak satu.

“Jadi, plantif (Rosland) terus melafazkan cerai terhadap defendan (Adibah),” katanya menjelaskan usaha Adibah yang mahu menyelamatkan rumah tangga dibina itu tidak berjaya.

Junid berkata, pihaknya sebagai peguam yang mewakili Adibah sudah memaklumkan sejak dari peringkat awal agar anak guamnya itu bersedia dengan sebarang keputusan akan diterima.

“Selalunya kes membabitkan perceraian ini difailkan oleh isteri, tapi apabila ia (perceraian) difailkan oleh pihak suami dalam kes Adibah ini, memang akan berakhir dengan perceraian juga.

“Sebabnya, suami yang memang nak ceraikan isteri. Jadi, pihak kami sudah cuba sedaya-upaya dan akhirnya sampai di sini saja perjuangan itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya juga mengenai tuntutan hadanah atau hak penjagaan anak dibuat Rosland pada hari ini, Junid berkata, lelaki itu menuntut hak penjagaan terhadap dua anak perempuannya berusia 12 dan 11 tahun.

“Mengenai kes tuntutan hadanah ini, bekas suami anak guam saya memang membuat tuntutan hak penjagaan terhadap dua orang anaknya yang masih kecil, manakala tiga orang lagi anak perempuan sudah besar.

“Perkara ini masih di peringkat awal, tapi kita akan bagi pembuktian menunjukkan bahawa anak itu memang berhak berada dibawah ibu dia (penjagaan).

“Hari ini, untuk kes tuntutan hadanah hanya sebutan bagi melengkapkan dokumen, sebelum mahkamah mengarahkan pada 4 September depan untuk semua dokumen lengkap dan dua anak itu juga perlu dibawa ke mahkamah untuk hakim dengar pendirian anak,” katanya.

Pada 7 April lalu, Rosland memfailkan cerai terhadap Adibah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, Adibah menolak permohonan cerai difailkan Rosland dan mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes perceraian itu.

Rosland dan Adibah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 1995 dan dikurniakan lima cahaya mata  berusia antara 11 sehingga 26 tahun.

Sebelum ini, media melaporkan Adibah mahu mempertahankan rumah tangga bersama Rosland biarpun perkahwinan didakwa dilanda badai sejak dua tahun lalu, apabila suaminya berkahwin dengan pelakon Miera Leyana pada Julai 2020.

Loading...
Terkini