Tumpuan :
Mahkamah

Subahat tuntutan palsu bernilai RM10 juta, pemilik syarikat ditahan

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya oleh SPRM bagi mendapatkan perintah reman. – FOTO: SPRM

KUALA LUMPUR: Seorang pemilik syarikat disyaki bersubahat dalam tuntutan palsu bernilai kira-kira RM10 juta ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Perintah reman selama empat hari sehingga 20 November ini dikeluarkan oleh Pendaftar Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi selepas SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 40-an dipercayai ditahan kira-kira jam 7 malam semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.

“Siasatan awal mendapati suspek melakukan kesalahan itu pada tahun 2019 sehingga tahun ini.

“Tangkapan terhadap suspek adalah susulan tangkapan seorang bekas pengurus kanan kejuruteraan sebuah syarikat pengeluaran barang keperluan asas berkaitan tuntutan palsu dan penipuan kira-kira RM2 juta pada minggu lalu.

“Suspek yang juga pengurus syarikat pembaikan mesin di sebuah kilang pengeluaran barang keperluan asas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi menjalankan kerja-kerja pembaikan serta memberi rasuah kepada kakitangan syarikat yang meluluskan tuntutan palsu itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini