comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suri rumah didakwa pukul suami guna telefon bimbit

Foto hiasan

MELAKA: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah selepas didakwa memukul suaminya menggunakan telefon bimbit hingga cedera, awal September lalu.

Tertuduh Noor Nazira Che Ghani, 25 dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini dan mengikut pertuduhan didakwa mendatangkan kecederaan terhadap suaminya, Ezwan Elias, 27, dengan memukul mangsa di kepala.

Kejadian berlaku di sebuah pangsapuri di Taman Saujana Puri, Bukit Katil kira-kira jam 11 malam.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atau denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri menawarkan jaminan RM2,000 dengan syarat tambahan penjamin adalah dalam kalangan ahli keluarga tertuduh.

Tertuduh merayu jaminan dikurangkan atas alasan tidak bekerja, dalam proses bercerai dengan suami dan mempunyai dua anak berusia lima tahun dan setahun lima bulan serta tinggal dan bergantung sepenuhnya dengan ibu bapa.

Mahkamah selepas meneliti rayuan tertuduh mengekal jaminan dan syarat dipohon pendakwaan serta menetapkan 6 Disember depan untuk sebutan bagi pengurusan kes. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini