JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melakukan penganiayaan terhadap seorang bayi di bawah asuhannya yang berusia tiga bulan pada Julai lalu.
Tertuduh, Monsinah Sapari, 48, membuat pengakuan tersebut dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa menganiayai dengan cara yang mungkin akan menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Kuarters Guru di Kampung Melayu Kangkar Pulai, di sini, antara jam 7.30 pagi hingga 12.44 tengah hari pada 17 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Lydia Salleh tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan pertuduhan dibuat di bawah kesalahan yang tidak boleh dijamin.
Bagaimanapun peguam Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri yang mewakili tertuduh memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin.
“Tertuduh seorang isteri dan ibu kepada empat orang anak yang mana dua sudah bekerja dan dua lagi masih bersekolah. Dia merupakan suri rumah, namun untuk membantu menjana pendapatan, dia menjadi pengasuh kanak-kanak.
“Tertuduh ditanggung suaminya yang bertugas sebagai guru. Mereka mempunyai alamat tinggal tetap, jadi tiada risiko untuk tertuduh melarikan diri,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat tambahan iaitu pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri di Balai Polis Kangkar Pulai sebulan sekali.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Januari depan untuk serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.