KUALA SELANGOR: Suspek kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan tiba di Mahkamah Kuala Selangor, di sini, untuk pertuduhan hari ini.
Suspek berusia 20-an itu tiba di perkarangan mahkamah dengan menaiki kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 8.25 pagi.
Terdahulu, media melaporkan mayat mangsa berusia 43 tahun ditemui dalam but sebuah kereta di tepi Jalan Pasir, Taman Pertama, Sabak Bernam, 16 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta dilaporkan berkata, motif pembunuhan mangsa adalah disebabkan masalah peribadi dan hutang.
Hasil bedah siasat dan pemeriksaan oleh pihak Patologi Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat beberapa kesan tikaman, kelar, serta cedera akibat objek tumpul atau keras pada beberapa bahagian tubuh mangsa.
Susulan itu juga polis merampas pelbagai jenis barangan termasuk tiga pisau dan pakaian digunakan suspek semasa kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa