comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Suspek tular dibelasah teruk di Semporna ditahan, miliki 9 rekod kes dadah & 2 kes jenayah lampau

 

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Polis telah menahan seorang suspek yang juga individu tular dibelasah teruk mengakibatkan kecederaan di bahagian muka di Semporna, semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah, suspek itu ditahan pada 4.50 petang tadi untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod sembilan kes jenayah dadah lampau termasuk dua kes jenayah di bawah seksyen 186 Kanun Keseksaan dan 380 Kanun Keseksaan.

Keadaan warga emas yang cedera dipukul selepas disyaki mencuri di sebuah pasar raya, di sini, semalam. – FOTO: Ihsan Pembaca

Penahanan dilakukan susulan laporan polis telah dibuat 1.21 tengah hari tadi oleh seorang pengadu yang juga pekerja di pasar raya Jalan Bugaya, Semporna.

“Kejadian berlaku kira-kira 3.00 petang semalam apabila pengadu cuba menahan seorang lelaki disyaki mencuri barang di pasar raya berkenaan namun cuba melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Saga hitam.” kata Mohd Farhan dalam satu kenyataan hari ini.

Beberapa pekerja pasar raya cuba menahan suspek namun suspek telah bertindak memandu kenderaan secara berbahaya dan telah melanggar dua buah kenderaan jenis Honda dan Van di hadapan pasar raya itu sehingga menyebabkan kerosakan.

Atas ihsan seorang individu yang baik hati telah membayar kerosakan kedua-dua kenderaan terlibat.

Suspek kemudian dilepaskan atas perbincangan antara mereka.

Siasatan lanjut mendapati suspek telah mencuri dua botol pencuci rambut dan satu unit losyen tangan bernilai RM126.

Pihak polis juga sedang mengesan saksi untuk diambil keterangan berhubung insiden berkenaan.

Kes disiasat di bawah seksyen 380 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan suspek boleh dihukum penjara 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pihak polis turut menasihati pemilik-pemilik pasar raya agar membuat laporan dan menyerahkan suspek serta merta kepada polis jika berlaku sebarang kecurian.

Sebarang maklumat berkaitan insiden terbabit boleh disalurkan kepada Inspektor Jamal Tampak di talian 013-2111667, Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah atau mana-mana Balai Polis Berdekatan.

Terdahulu, video tular berdurasi satu minit 36 saat sejak semalam memaparkan seorang individu bersama sekumpulan lelaki menarik baju suspek di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah pasar raya sambil disaksikan oleh orang awam.

Berdasarkan video dan gambar tular itu, suspek didakwa mencuri lima barangan asas termasuk gula dan pencuci rambut dari pasar raya berkenaan namun disedari kakitangan di situ.

Bagaimanapun, tindakan salah seorang individu yang mencederakan suspek terbabit dengan menyepak muka sehingga berdarah mengundang pelbagai reaksi netizen.

Loading...
Terkini