comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Suspek ugut kumpulan Radja dijangka didakwa esok

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Seorang daripada dua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kumpulan muzik Indonesia, Radja yang mendakwa dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah).

Beliau berkata, kertas siasatan kes berkenaan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima arahan supaya seorang suspek dituduh.

Menurutnya, sekiranya disabit kesalahan, suspek berdepan dengan hukuman penjara selama tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Katanya, pihaknya menasihati orang ramai supaya tidak gusar dengan kejadian berkenaan.

“Siasatan yang telus tanpa kompromi dilakukan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Orang ramai juga diminta tidak menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengelirukan masyarakat,” katanya menerusi siaran media hari ini.

Kelmarin, polis mengesahkan menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung kumpulan muzik Indonesia, Radja, yang mendakwa dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh, dalam kejadian pada malam 11 Mac lalu.

Dua lelaki itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS), petang tadi.

Radja mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini sebelum berlakunya salah faham antara pihak penganjur konsert dan juga band berkenaan.

Dua lelaki yang dipercayai wakil penganjur didakwa melemparkan kata-kata kesat dan ancaman bunuh kepada ahli kumpulan itu.

Terdahulu, Kamarul Zaman memaklumkan polis sudah memulakan siasatan ke atas kes berkenaan selepas menerima laporan polis dibuat pengurus kumpulan muzik itu.

Menerusi suatu kenyataan dilakukan kumpulan muzik itu difahamkan Radja kini bimbang untuk kembali beraksi di Malaysia yang dijadualkan selepas Ramadan selepas kejadian berkenaan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini