Tumpuan :
Mahkamah

Syarikat pengimport telur gagal saman Azmin

ADUN Hulu Kelang merangkap Ketua Pembangkang DUN Selangor, Azmin Ali. – Foto fail NSTP

Oleh: Atikah Azlan

KUALA LUMPUR: Syarikat pengimport telur gagal menyaman bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap ucapan berbaur fitnah yang mendakwa syarikat itu memperoleh kontrak secara rundingan terus daripada kerajaan untuk mengimport telur dari India di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Hakim Leong Wai Hong telah memutuskan selepas menolak saman yang dikemukan oleh J&E Advance Tech Sdn Bhd selaku plaintif terhadap Azmin yang disebutkan sebagai defendan tunggal.

Dalam perbicaraan itu, Hakim Wai Hong berkata, plaintif gagal membuktikan semua elemen fitnah yang didakwa oleh defendan.

Keputusan hakim telah dibuat, mahkamah memerintahkan plaintif perlu membayar kos sebanyak RM50,000 terhadap Azmin.

Berdasarkan tuntutan saman itu pada April tahun lalu, plaintif mendakwa walaupun nama syarikat itu tidak dinyatakan di dalam ucapan memfitnah tersebut, namun ucapan berkenaan jelas merujuk kepada plaintif kerana ia satu-satunya syarikat Malaysia yang dibenarkan mengimport telur dari India seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam sidang Parlimen pada 8 Mac lepas.

Plaintif mendakwa kenyataan fitnah tersebut diterbitkan atau diterbitkan semula oleh defendan walaupun mempunyai pengetahuan bahawa syarikat berkenaan hanya mengimport telur dari India sebagai langkah sementara untuk membekal pasar raya tempatan, pasar mini dan pasar raya semasa musim perayaan bagi membantu menyelesaikan masalah kekurangan telur yang serius di pasaran mulai Oktober 2022.

Menurut syarikat itu, kenyataan tersebut tidak benar dan melampau yang mana syarikat berkenaan tidak pernah terlibat dan tidak mempunyai kaitan dengan apa-apa rundingan terus dengan Kerajaan Malaysia.

Plaintif mendakwa tindakan Mohamed Azmin itu berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan imej serta reputasi plaintif selain untuk mencapai publisiti murahan serta kepentingan politik.

Sehubungan itu, plaintif memohon injunksi menghalang defendan, ejen atau pekerja, mengucap atau menerbitkan ucapan fitnah tersebut serta memohon ganti rugi am, pampasan, teruk, teladan, faedah dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini