comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Syed Iskandar gagal dapatkan injunksi halang pilihan raya

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar gagal dalam permohonan injunksi untuk menghalang perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 PRU-15 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermula dengan penamaan calon esok.

Ia susulan keputusan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk M. Gunalan dan Datuk Seri Mariana Yahya menolak injunksi terbabit berkaitan rayuannya bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman berhubung pembubaran Parlimen.

Syed Iskandar yang juga pengundi kawasan Pandan memohon perjalanan PRU-15 ditangguhkan sementara rayuan bagi permohonan kebenaran semakan kehakiman itu didengar dan diputuskan Mahkamah Rayuan.

Dalam keputusannya, panel memutuskan Syed Iskandar gagal membuktikan peruntukan Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi mahkamah membenarkan injunksi itu.

Berhubung isu rayuannya akan menjadi tidak penting dan sia-sia jika injunksi tidak dibenarkan, Vazeer berkata perkara itu tidak timbul kerana rayuan beliau akan didengar pada 14 November ini iaitu lima hari sebelum tarikh PRU.

Panel juga menolak permohonan Syed Iskandar untuk menangguhkan perintah keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan kebenaran semakan kehakimannya pada 28 Oktober lalu bagi menghalang SPR daripada meneruskan PRU-15, sementara menunggu rayuan diputuskan.

“Tiada perintah atau penghakiman dibuat terhadap pemohon (Syed Iskandar), dalam mengarahkan pemohon mahupun responden (Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pengerusi SPR dan kerajaan Malaysia) daripada melakukan sebarang tindakan,” katanya.

Vazeer berkata, tindakan undang-undang yang difailkan Syed Iskandar adalah untuk membatalkan keseluruhan proses yang membawa kepada PRU-15 dan mengembalikan semula Parlimen ke-14.

Katanya, pemohon mahu mencabar permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong atas alasan ia tidak wajar di sisi undang-undang dan mahu membatalkan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen serta untuk menghentikan PRU-15 daripada diadakan.

Pada 28 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman dibuat Syed Iskandar , bagi menghalang PRU-15 diadakan selepas memutuskan permohonan berkenaan remeh atau tidak penting kerana pembubaran Parlimen yang membawa kepada PRU-15 tidak boleh dipertikaikan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, dalam keputusannya berkata pembubaran itu diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mempunyai budi bicara mutlak mengikut Perkara 32(1), 40(2)(b) dan 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Syed Iskandar, 55, memfailkan permohonan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman itu pada 14 Oktober lalu.

Peguam itu memohon perisytiharan permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, pada 9 Oktober lalu, supaya Parlimen dibubarkan adalah terbatal dan tidak berkuat kuasa.

 

Loading...
Terkini