comscore
Tumpuan :
Mahkamah

‘Syed Saddiq arah wang hasil dana dipindahkan ke akaun peribadi’

Bekas Ketua ARMADA BERSATU, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi pembelaan akhir kes pecah amanah dan pengubahan wang haram. -FOTO:NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang didakwa bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram, hanya menafikan semata-mata pertuduhan ke atasnya tanpa disokong bukti kukuh.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, dalam hujahannya berkata Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu ketika membela diri, tidak menafikan wujud komunikasi antara beliau dengan Penolong Bendahari ARMADA BERSATU ketika itu, Rafiq Hakim Razali.

Dalam hujahan di akhir kes pembelaan itu, Wan Shaharuddin berkata, komunikasi berkenaan adalah berhubung arahan pemindahan wang berjumlah RM120,000 hasil kutipan majlis meraih dana Makan Amal Muo dan Battle For Johor pada 7 dan 8 April 2018, ke dalam akaun Maybank peribadi Syed Saddiq.

“Tertuduh (Syed Saddiq) tidak menafikan Rafiq Hakim melakukan pemindahan wang berjumlah RM120,000 melalui empat kali transaksi wang RM30,000, masing-masing bertarikh 8, 11, 12 dan 21 April 2018.

“Beliau juga tidak menafikan bahawa wang dikatakan hasil daripada majlis meraih dana itu tidak pernah dibelanjakan untuk kempen PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) sehinggalah wang RM100,000 dipindahkan melalui dua kali transaksi RM50,000 ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputra (ASB) miliknya, masing-masing pada 16 dan 19 Jun 2018,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin berkata, Syed Saddiq tidak pernah memberitahu sesiapa bahawa kutipan wang melalui dua program meraih dana itu adalah untuk menggantikan wangnya yang didahulukan bagi kempen PRU14.

Beliau berkata, tertuduh sepatutnya memberitahu Rafiq Hakim yang menguruskan akaun bank Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE), mengenai tujuan sebenar majlis meraih dana itu diadakan, namun apa yang menghairankan ialah perkara itu tidak pernah berlaku sedangkan beliau seorang yang berhati-hati dan bukannya tidak berpelajaran.

“Jika benar wang kutipan adalah bagi tujuan kempen PRU, apa salahnya jika ia disimpan dalam akaun ABBE serta hanya dikeluarkan kepada tertuduh berdasarkan penggunaan dan jika ada baki, boleh digunakan oleh ahli BERSATU / ARMADA yang lain untuk tujuan kepentingan parti.

“Namun, daripada mengambil tindakan sedemikian, tertuduh mengarahkan keseluruhan wang hasil majlis meraih dana itu dipindahkan terus ke dalam akaun peribadinya.

“Oleh yang demikian, adalah dihujahkan pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan dalam kes pendakwaan. Secara keseluruhannya, pembelaan mengemukakan pembelaan berbentuk penafian semata-mata, yang difikirkan kemudian dan rekaan semata-mata,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata, tiada satu pun pembelaan Syed Saddiq yang kukuh dan dapat menyangkal kes prima facie yang sudah dibuktikan oleh pendakwaan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua belah pihak (peguam, Gobind Singh Deo berhujah, semalam), Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, beliau memerlukan masa untuk menelitinya dan akan menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan akhir.

Pembelaan menutup kesnya pada 14 Mac lalu selepas memanggil lima saksi, termasuk Syed Saddiq; bekas pegawai khasnya, Mohamed Amshar Aziz; bekas Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Aqamah Husamudin; dan bekas setiausaha peribadinya, Siti Nurul Hidayah.

Ahli Parlimen Muar berkenaan didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dana RM1 juta ketika itu, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana terbabit di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 pada 6 Mac 2020.

Anak kelahiran Johor Bahru itu juga didakwa menyalahgunakan RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik ABBE untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini, antara 8 dan 21 April 2018.

Selain itu, Syed Saddiq berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun ASB miliknya, dipercayai hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru, pada 16 dan 19 Jun 2018.

Loading...
Terkini