comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Syed Saddiq guna wang sendiri semasa kempen PRU-14 – bekas setiausaha peribadi

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggunakan wangnya sendiri semasa berkempen sebagai calon Ahli Parlimen Muar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tanpa bantuan kewangan daripada Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) dan BERSATU.

Bekas setiausaha peribadi kepada Syed Saddiq, Siti Nurul Hidayah, 27, berkata oleh kerana Syed Saddiq menggunakan wangnya sendiri untuk menjayakan program-program bagi kempen dirinya, pasukan Syed Saddiq (Team Saddiq) yang berperanan melakukan gerak kerja khidmat bagi kempen PRU-14 ahli politik itu, telah merancang untuk menganjurkan majlis mengumpul dana bagi membantu perjalanan kempen tersebut.

“Team Saddiq telah berbincang dan merancang mengadakan dua majlis meraih dana iaitu Makan Amal Muo yang diadakan di Muar dan Fund-Raising Battle for Johor di Ampang.

Kami juga berbincang langkah terbaik untuk menguruskan hasil kutipan majlis-majlis tersebut dan berpendapat adalah tidak wajar untuk YB (Syed Saddiq) menggunakan akaun peribadi beliau bagi mengumpul dana sebelum memutuskan untuk menggunakan akaun Maybank perniagaan milik Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) bagi tujuan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari keempat prosiding membela diri Syed Saddiq, yang berdepan empat pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram.

Menurut saksi pembelaan keempat itu, Syed Saddiq telah membelanjakan RM30,000 bagi menanggung kos-kos penganjuran majlis yang diberikan kepadanya dalam bentuk tunai.

“Sepanjang kempen PRU-14 YB Syed Saddiq, saya bertanggungjawab menguruskan semua hal ehwal kewangan dan perbelanjaan yang digunakan untuk kempen tersebut,” katanya.

Sementara itu, Siti Nurul Hidayah bersetuju dengan cadangan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Tahir bahawa beliau terpilih untuk memasuki Team Saddiq kerana mempunyai hubungan yang rapat dan dipercayai oleh Ahli Parlimen itu.

“Antara tugas saya sebagai setiausaha peribadi YB adalah mengambil gambar dan video beliau ketika beliau melakukan kerja seterusnya dibuat hantaran ke media sosial, menguruskan jadual harian selain menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan kewangan beliau,” katanya.

Ketika disoal Muhammad Asyraf sekiranya beliau tahu duit yang dikumpul daripada majlis meraih dana itu telah dipindahkan daripada akaun ABBE ke dalam akaun peribadi dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) milik bekas Menteri Belia dan Sukan itu, saksi menjawab: “Tidak”.

Muhammad Asyraf: Saya cadangkan Syed Saddiq tidak pernah beritahu kamu mengenai transaksi pemindahan wang (ke akaun peribadinya) kerana perkara itu salah.

Siti Nurul Hidayah: Tidak setuju.

Saksi turut tidak bersetuju dengan cadangan Muhammad Asyraf bahawa beliau menjadi saksi pembelaan dalam kes ini semata-mata bagi mengelakkan Syed Saddiq dipenjara.

Sementara itu, Siti Nurul Hidayah berkata beliau telah dikasari dan diugut oleh pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil memberi keterangan dalam siasatan terhadap Syed Saddiq pada 2020 dan beliau telah membuat laporan polis seterusnya mengadakan sidang media berkaitan kejadian itu.

Syed Saddiq, 30, didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Anak kelahiran Johor Bahru itu, didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise, untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Beliau juga berhadapan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Perbicaraan dihadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung esok.- BERNAMA

Loading...
Terkini