comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tampar Nenek, Letak Cekodok Panas, Cucu Dipenjara 12 Bulan

Mahkamah Majistret Ayer Keroh menjatuhkan hukuman 12 bulan penjara ke atas Nazri Zol, bermula tarikh tangkapan 21 Oktober lalu.

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Padah menampar dan meletakkan cekodok panas pada tangan neneknya, seorang cucu dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Majistret Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu terhadap Nazri Zol, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman 12 bulan penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober lalu.

Mengikut pertuduhan, Nazri dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap neneknya Halimah Hassan, 83.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Jalan SB 1, Taman Sutera Belia, Batu Berendam pada jam 9.30 pagi, 21 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM2,000 mengikut Seksyen 323 yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian berlaku pertengkaran antara tertuduh dengan emaknya selepas tertuduh menolak neneknya itu.

Tertuduh yang juga anak sulung turut menampar belakang badan dan muka neneknya serta mengambil kuih cekodok panas yang diletakkan pada tangan kanan warga emas itu.

Tindakan itu menyebabkan wanita terbabit mengalami kecederaan sebelum tertuduh ditangkap di lokasi sama pada jam 10 malam hari sama.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam kerana kesalahan serius yang tidak sepatutnya dilakukan seorang cucu terhadap neneknya.

Loading...
Terkini