AYER KEROH: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Mohd Fariz Mohd Ali, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM1.3 juta oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas kesalahan menerima rasuah berkaitan kontrak pembekalan bot Melaka River Cruise (MRC) tujuh tahun lalu.
Hakim, Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd Fariz, 42, disabitkan bersalah atas empat pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Menurut hakim, pembelaan tertuduh yang menafikan menerima wang rasuah, tidak berada di lokasi serahan, dan mendakwa lokasi kejadian tidak wujud, gagal mematahkan pertuduhan di bawah Seksyen 51 Akta SPRM 2009.
Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM500,000, manakala bagi pertuduhan kedua, hukuman dua tahun penjara dan denda RM400,000. Pertuduhan ketiga dan keempat masing-masing dikenakan hukuman penjara setahun dengan denda RM250,000 dan RM150,000.
Hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak dari tarikh keputusan hari ini. Jika gagal membayar denda, tertuduh akan menjalani penjara tambahan selama 32 bulan.
Mengikut pertuduhan, Mohd Fariz didakwa menerima rasuah tunai berjumlah RM260,000 daripada CEO syarikat LEC Impressions Sdn Bhd sebagai dorongan mencadangkan syarikat itu memperoleh projek membekalkan 10 bot MRC kepada PPSPM. Kesalahan dilakukan dalam empat perjumpaan berasingan di Melaka Tengah antara Januari hingga November 2017.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, memohon hukuman berat dikenakan atas kepentingan awam. Beliau menegaskan tertuduh, sebagai penjawat awam ketika itu, seharusnya bertugas dengan telus dan tidak menyalahgunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi.
Pendakwaan turut membantah hujah pembelaan yang meremehkan kesalahan rasuah sebagai perkara kecil. “Tertuduh mengambil kesempatan dengan memperoleh rasuah RM260,000. Hukuman berat wajar dikenakan sebagai pengajaran,” katanya.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Hamidi Mohd Noh, merayu hukuman diringankan atas beberapa alasan termasuk ini kesalahan pertama Mohd Fariz. Beliau juga memohon pertimbangan terhadap tanggungjawab tertuduh yang menjaga ibu bapa uzur serta menyara keluarga dengan isteri yang tidak bekerja.
Mahkamah membenarkan permohonan penangguhan hukuman bagi memberi ruang kepada pihak pembelaan membuat rayuan. Jumlah jaminan dinaikkan kepada RM60,000 dengan syarat tambahan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.