Tumpuan :
Mahkamah

Terima rasuah bina rumah, bekas Mejar Jeneral didenda RM150,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini memerintahkan seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkat Mejar Jeneral menjelaskan denda RM150,000 selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM100,000 bagi bayaran pembinaan rumah, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin juga memerintahkan Datuk Zainal Abdul Manaf, 61, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain menasihati tertuduh tidak mengulangi kesalahan itu dan benar-benar insaf terhadap perbuatannya.

Zainal didakwa menerima pembayaran pembinaan rumah bernilai RM100,000 tanpa balasan daripada seorang individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh yang ketika itu memegang jawatan sebagai Asisten Ketua Staf Material TUDM, Kementerian Pertahanan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Wangsa Maju di sini pada 15 Mac 2022 dengan pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Aznika Mohd Anas memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran bukan sahaja kepada tertuduh, tetapi juga bagi masyarakat.

“Tertuduh bukan berpangkat biasa dalam TUDM sebaliknya Asisten Ketua Staf Material yang juga antara pangkat tertinggi dalam TUDM. Oleh itu, pendakwaan mohon hukuman setimpal terhadap tertuduh,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam, Wafa Shalehah Helmy yang mewakili tertuduh berkata anak guamnya kini bergantung pada pencen bagi menampung perbelanjaan bulanan selain menghidap penyakit darah tinggi manakala isterinya adalah pesakit diabetes.

“Kami memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda yang tidak terlampau tinggi kerana usia anak guam telah mengehadkannya untuk mendapatkan bantuan kewangan bagi membayar denda,” katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini