comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Terima suapan RM39,800, 4 pembantu penguasa kastam didakwa

 

SHAH ALAM: Empat Pembantu Penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 49 pertuduhan menerima rasuah dengan nilai keseluruhan RM39,800.

Tertuduh, Mohd Rizal Othman, 43; Mohd Hanafie Che Mat, 39; Mohd Shahril Mohd Sukaimi, 39 dan Alias Mat Yusop, 48 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Anita Harun.

Mohd Rizal didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM15,350 antara 16 Februari hingga 10 April 2017, manakala Mohd Hanafi didakwa dengan 10 pertuduhan iaitu menerima suapan keseluruhan berjumlah RM12,600 antara 14 Jun 2020 hingga 23 Januari 2023.

Mohd Shahril pula didakwa dengan 26 pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM8,450 antara 9 April 2018 hingga 22 April 2023 dan Alias didakwa dengan empat pertuduhan berjumlah keseluruhan RM3,400 antara 16 Jun 2019 hingga 20 Julai 2022.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2); Bandar Puchong Jaya, Bandar Baru Salak Tinggi dan Kajang.

Semua mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun, melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Muhammad Asraf Mohamed Tahir; Nurul Atiqah Mohamad Alias dan Maziah Mohaide.

Mohd Rizal diwakili peguam Ridha Abdah Subri manakala Mohd Hanafie; Mohd Shahril dan Alias diwakili peguam Muhammad Aizat Fakri.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Rizal dan Mohd Hanafie masing-masing dijamin dengan RM15,000 manakala Mohd Shahril dengan RM10,000 dan Alias sebanyak RM8,000.

Kesemua tertuduh turut diperintah menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain keempat-empat mereka perlu melaporkan diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya setiap awal bulan dan tidak dibenarkan berhubung atau mengganggu saksi pendakwaan.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula bagi pengurusan kes dan penyerahan dokumen bagi kesemua tertuduh pada 11 Julai depan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan seramai 23 pegawai dan anggota kastam akan didakwa di enam mahkamah sesyen seluruh negara sehingga 6 Jun depan selepas ditahan menerusi Ops Samba 2.0.

Operasi yang bermula pada 11 hingga 25 Mac itu, menumpukan siasatan ke atas mereka yang bertugas di kargo KLIA dan berjaya mengesan ketirisan hasil cukai berjumlah RM2 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini