comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Terlepas hukuman mati, bekas penjaga stor dipenjara 33 tahun

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikan hukuman mati seorang bekas penjaga stor dengan penjara 33 tahun atas kesalahan membunuh dengan menikam rakan rapat sebanyak tujuh kali akibat cemburu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, membuat keputusan itu terhadap Ooi Ai Peng, 46, selepas membenarkan permohonan wanita berkenaan mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Turut bersidang, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nordin Hassan.

Terdahulu, peguam bela Ai Peng, T Jayaraj, memohon mahkamah mengetepikan hukuman mati kerana tertuduh sudah menjalani hukuman penjara selama 14 tahun.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi, membantah permohonan itu sebelum mencadangkan wanita berkenaan dipenjara sekurang-kurangnya 33 tahun.

Pada 2011, Mahkamah Tinggi Alor Setar mensabitkan wanita berkenaan kerana membunuh Suhana Mohd Sharif, 26, di Taman Kristal Mergong, Alor Setar, jam 9.30 malam pada 3 Mac 2010.

Rayuan Ai Peng ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan pada 2013 serta 2014.

Dalam kejadian itu, Suhana ditikam tujuh kali sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Kedua-dua wanita yang juga rakan sekerja di kedai alat tulis dipercayai berselisih faham sebelum berlaku pertengkaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini