comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiada arahan buat semakan audit wang RM1 juta – pegawai LHDN

Tan Sri Shahrir Ab Samad, meninggalkan mahkamah selepas sambung bicara kes pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa LHDN tidak membuat semakan audit berhubung wang RM1 juta yang didakwa diterima oleh Tan Sri Shahrir Ab Samad daripada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Unit Audit Meja Selebriti, Penghibur Awam dan Pelbagai, Bahagian Penaksiran LHDN, Tuan Zulkfli Tuan Lah, 48, berkata ini kerana tiada arahan daripada pegawai atasan untuk beliau melakukan semakan tersebut selepas aduan dibuat pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang berdepan pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada LHDN.

Syed Faisal Al-Edros: Tuan Zul (Zulkifli) telah maklumkan kepada pegawai atasan yang mana pegawai penyiasat ada memberitahu Tuan Zul yang Tan Sri Shahrir terima RM1 juta, namun tiada arahan daripada pegawai atasan itu untuk melakukan semakan audit terhadap penerimaan wang tersebut?

Tuan Zulkifli: Tiada arahan kerana aduan (daripada pegawai SPRM) dibuat secara lisan bukan bertulis.

Saksi pendakwaan ke-21 itu secara peribadi bersetuju bahawa Shahrir telah didakwa di mahkamah sebelum siasatan dijalankan oleh LHDN selain tidak menemu bual Shahrir dan pihak yang memasukkan wang tersebut (RM1 juta).

Tuan Zulkfli juga bersetuju dengan cadangan peguam itu bahawa LHDN tidak melaksanakan sembilan langkah yang wajar untuk menyemak status wang RM1 juta yang diterima Shahrir sama ada ia perlu dilaporkan sebagai pendapatan atau sebaliknya berikutan tiada arahan daripada pegawai atasan untuk beliau melakukan semakan.

Katanya, antara sembilan langkah itu ialah LHDN akan mengeluarkan surat kepada pembayar cukai meminta dokumen tambahan untuk audit dan sekiranya dokumen tidak diterima, pembayar cukai akan dipanggil untuk ditemu bual bagi menentukan kebenaran pengisytiharan tersebut.

Beliau berkata sembilan langkah itu perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pertuduhan dikemukakan terhadap Shahrir.

Dalam pada itu, Tuan Zulkfli bersetuju dengan seorang lagi peguam Shahrir, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, bahawa tertuduh tidak pernah didakwa atas mana-mana kesalahan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan 1967 dan tiada penalti dikenakan di bawah seksyen tersebut.

Menurut Tuan Zulkfli, LHDN juga tidak pernah melakukan taksiran tambahan terhadap pentaksiran kendiri yang dibuat oleh Shahrir bagi tahun 2013.

“Bagi saya untuk kesalahan seperti ini (tidak lapor pendapatan) perlu ada semakan dahulu, bila (ada) tak betul baru kita ambil tindakan. Kalau tiada tindakan (semakan), kita tidak boleh pastikan sama ada orang itu lapor (pendapatan) atau sebaliknya,” katanya.

Kepada soalan Firoz Hussein, saksi itu bersetuju bahawa dalam mengisytiharkan sesuatu pendapatan, pembayar cukai sendiri yang menentukan kategori wang yang diterimanya sama ada pendapatan atau pembayaran balik.

Shahrir, 72, didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan.

Ia bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Kesalahan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung 13 Disember ini. – BERNAMA

Loading...
Terkini