comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiga ahli geng pecah rumah “Che Wan” dipenjara

KOTA TINGGI: Tiga ahli Geng pecah rumah “Che Wan” dijatuhi hukuman penjara 10 bulan hingga satu tahun atas tiga tuduhan menceroboh, mengurung mangsa dan menghalang tugas penjawat awam, bulan lalu.

Keputusan dibuat Majistret Mahkamah Kota Tinggi, Muhammad Fitri Mokhtar selepas ketiga-tiga tertuduh mengaku bersalah ketika dihadapan ke mahkamah pagi tadi.

Tiga tertuduh, Muhamad Badry Muhamad Azami, 23, serta Mohd Ikhwan Mohd Sharif dan Mohamad Safuan Mohd Noor, masing-masing 33 tahun menunduk faham dan mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Muhamad Badry dan Mohd Ikhwan didakwa secara bersama menceroboh sebuah inap desa dan mengurung lima pelanggan secara salah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan 342 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dihukum penjara 10 bulan dan satu tahun dari tarikh sabitan selain denda RM1,000.

Bagi tuduhan ketiga, mereka didakwa menghalang tugas penjawat awam menjalankan tugas pemeriksaan.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mahkamah memerintahkan mereka dihukum penjara 10 bulan selepas hukuman bagi kes pertama dan kedua selesai.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah inap desa dalam sebuah hotel di Desaru, Kota Tinggi kira-kira jam 11 pagi 21 Disember lalu.

Di mahkamah yang sama ketua kumpulan itu, Mohamad Safuan Mohd Noor, 33, didakwa atas dua tuduhan melakukan khianat dan menceroboh sebuah bilik di hotel dan tarikh yang sama.

Manakala bagi pertuduhan ketiga tertuduh didakwa menghalang tugas polis ketika di ditahan di Laman Desaru, Bandar Penawar, kira-kira jam 10 pagi pada 22 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

Polis Daerah Kota Tinggi percaya dapat menyelesaikan 16 kes pecah rumah di Johor, Pahang, Kelantan dan Kedah susulan kejayaan menahan ketiga-tiga tertuduh.

Loading...
Terkini