comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Tiga kakitangan Majlis Perbandaran dituduh terima rasuah RM9,300

Foto: NSTP

MELAKA: Tiga kakitangan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dituduh di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas sembilan pertuduhan menerima rasuah RM9,300 daripada seorang pengurus sebuah syarikat pengiklanan.

Pertuduhan kes dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan manakala pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Pegawai Khidmat Pelanggan, Patrick Tan Peng Sin, 34, Mohd Rozaiman Rahmat, 45, (pegawai tadbir) dan Suhana Surin, 43, (pembantu tadbir) di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu, masing-masing mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan.

Patrick berdepan dua pertuduhan, manakala Mohd Rozaiman dan Suhana, masing-masing didakwa atas tiga dan empat pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, Patrick didakwa atas dua pertuduhan iaitu menerima rasuah wang tunai berjumlah RM4,500 daripada pengurus Syarikat Pusat Pengiklanan Prisma Ong Ah Siong tanpa balasan dengan mengetahui ia mempunyai hubungan dengan kerja rasminya, antara 1 hingga 14 Januari 2023.

Sementara itu, Rozaiman antaranya didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2,400 (ketika bertugas di Unit Penguatkuasaan MPAG) daripada Ong pada 31 Mac 2022 dan 6 September 2022.

Suhana yang juga Pembantu Tadbir di Jabatan Korporat dan Khidmat Masyarakat MPAG pula didakwa atas empat pertuduhan menerima rasuah RM1,900 bagi dirinya daripada individu sama tanpa balasan, antara 10 hingga 20 Julai 2022, 1 hingga 10 November 2022, 5 hingga 20 Januari 2023 dan 10 April hingga 19 April 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh membayar ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini